Kenapa kedai buku makin sunyi ?-Norden Mohamed

77

HUJUNG minggu lalu saya ke gedung buku yang dah lama saya tidak kunjungi. Premisnya yang terletak di sebuah kompleks beli-belah itu kelihatan cantik berseri kerana terang dengan lampu-lampunya. Pencahayaan yang terang adalah di antara elemen penarik para pelanggan, sesuai sebagai sebuah kedai buku.

Ia berbeza dengan penataan cahaya kafe yang sedikit suram agar pelanggan dapat merehatkan mata dan fikiran atau pencahayaan di disko yang gelap tetapi disimbahi lampu-lampu yang berkelip-kelipan untuk merangsang naluri semi-fantasi. Yang pasti, pencahayaan di panggung wayang seharusnya gelap-gelita pada waktu tayangan filemnya.

Saya perhati ke sekeliling sebaik sahaja melangkah masuk. Terdapat rak buku-buku baharu. Di dinding berhampiran pintu masuk juga terdapat carta buku terlaris dan naskhah-naskhah buku yang terpilih. Kemudian terdapat rak demi rak yang dipenuhi buku kategori undang-undang, ekonomi, bisnes, pengurusan, motivasi, biografi, novel, buku-buku teks dan komik.

Saya juga nampak kedai buku itu kini dipenuhi dengan alat-tulis. Pen, pensil, pensil warna, kertas, klip dan apa sahaja nampaknya sudah menakluki sepertiga ruang di kedai buku itu.

Saya terpandang dua petugas sedang menyusun fail-fail dan aksesori meja.  Wah, nampaknya barang-barang alat tulis akan mengambil lebih ruang dalam seminggu dua lagi.

Saya ke rak buku-buku pemasaran. Mencari sebuah buku berjudul Positioning: The Battle for Your Mind kerana buku yang saya ada dah hilang dari simpanan. Saya berdiri, meneleng, membongkok dan mencangkung mencari buku itu. Tapi tak jumpa. Saya pandang ke sekeliling mencari bantuan petugas.

Ada tiga petugas di luar kaunter. Mereka kesemuanya sedang sibuk menyusun alat tulis di rak, mengalih buku dan menyusun buku-buku dari kotak. Saya gamit salah seorang daripada mereka. Sambil tersenyum, gadis itu datang menghampiri. Saya jelaskan hasrat saya.

Agaknya beban buku yang ditatangnya itu berat. Sambil menggunakan bibirnya untuk mengunjuk arah, dia berkata kesemua buku-buku pemasaran hanya terdapat di rak di sebelah saya.

Katanya lagi, jika tak terdapat buku yang dikehendaki itu di situ, bermakna di kedai buku itu tiada judul buku yang dimaksudkan.

Baru saja saya hendak membuka mulut bertanya mengenai sebuah judul buku yang lain, gadis itu sudah pun berlalu.

‘Oh, dia sibuk,’ kata saya di dalam hati seraya mengeluh. Memang saya dah anggap situasi ini akan terjadi di kedai buku. Malah sudah menjadi kebiasaan di kebanyakan kedai buku.

Hingga saya punyai tanggapan, apabila kita ke kedai buku, bersedialah untuk mencari buku sendiri, membelek, membayar dan kemudiannya nyah dari situ. Dari saat kita masuk ke kedai dan keluar setelah membayar atau jika tidak jadi membeli pun, jangan hairan seandainya kita tidak disapa langsung oleh promoter buku.

Situasinya berbeza apabila kita pergi ke kedai mekap, kedai kasut, kedai komputer, kedai perabot, kedai jamu, kedai farmasi dan kedai pakaian. Ada premis perniagaan yang menyuruh para petugasnya memberi ucapan ‘selamat datang’ secara serentak sebaik sahaja kita melangkah masuk ke kedai mereka. Mat Bangla di stesen minyak pun menyapa kita meskipun kita gerenti membeli minyak apabila ke stesen.

Pantang apabila melihat kita berkeliaran atau melilau… pasti salah seorang promoter di mana-mana kedai pun akan menghampiri untuk membantu. Namun, apabila kita ke kedai buku situasinya… hmm.

Sebenarnya, sikap tuan punya perniagaan yang tidak melatih para promoternya untuk mempelajari product knowledge itulah yang menjadikan para petugas mereka tidak petah dan ramah melayani para pelanggan di kedai buku.

Seandainya melayani para pelanggan dijadikan prosedur standard operasi, pasti lebih ramai daripada pelanggan yang datang ke kedai buku akan keluar dengan pembelian.

Kedai buku merupakan point of sales. Bagaimana sesebuah buku yang dikarang selama berbulan-bulan, dicetak beribu naskhah, dipromosi di pelbagai media ataupun diperkenalkan secara bisik-bisik sesama peminat buku itu tidak memperoleh keistimewaan yang sepatutnya apabila ia terpamer di kedai-kedai buku?

Sikap endah tak endah terhadap buku-buku yang terpamer itu sendiri merupakan suatu ketidakadilan kepada industri buku itu sendiri. Ia menggambarkan parahnya mereka di dalam hiliran industri kerana tidak bersungguh-sungguh menjual buku. Kerana itu, jangan mengeluh seandainya jualan buku merudum.

Jika aspek mempromosi buku secara one-to-one ini tidak ditangani segera, apa nak hairan jika rakyat Malaysia kembali untuk membaca hanya dua halaman setahun seperti laporan tabiat membaca oleh UKM pada tahun 1997 atau lebih buruk lagi hanya membaca satu halaman setahun seperti kajian UPM pada tahun 1983.

Apabila itu terjadi, kita mengundur lebih 30 tahun ke belakang dalam usaha menjadikan membaca suatu budaya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here